Suryadi

PANTUN & BAHASA INDAH: JENDELA BUDAYA MELAYU

6 Mar 2015 - 15:00 WIB

ed83cb45f4a3194509f5846fb42dfd46_zdsgJudul : , Pantun & Bahasa Indah: Jendela Budaya Melayu

Penulis : Rais Yatim

Tebal : x + 316 muka surat

Penerbit : Kuala Lumpur, Endowment Publications, 2013 (Edisi 2: 2014)

ISBN : 978-983-43892-1-5 (hardback)


Setiap etnik di dunia ini memiliki ragam bahasa sastera yang menjadi wadah untuk mengekpresikan perasaan kesasteraan etnik tersebut. Ragam bahasa sastera itu wujud dalam genre tertentu. Demikian pula halnya orang Melayu yang juga memiliki bahasa sastera sendiri yang antaranya wujud dalam genre pantun. Ding Choo Ming dalam artikelnya “That mighty pantun river and its tributaries” (Wacana. Jurnal Ilmu Pengetahuan Budaya 12-1, 2007:115-130) menjelaskan bahawa setiap etnis di Nusantara memiliki ekspresi sastera lisan yang disebut pantun. Berbeza dengan syair yang menggunakan medium bahasa Melayu (lingua franca Nusantara), pantun ditemukan dalam berbagai bahasa daerah yang hidup di rantau ini. Oleh itu, pantun mestilah mengandungi unsur inti budaya sebuah etnis.

Buku ini membincangkan sejarah dan eksistensi seni pantun Melayu dalam masyarakatnya yang terus berubah oleh perkembangan zaman. Walaupun fokus buku ini lebih pada genre pantun, tetapi penulisnya juga membahas genre-genre lain, iaitu mantera dan peribahasa. Penulis buku ini, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, adalah seorang penguam tinggi dalam pemerintahan Malaysia moden yang sangat tertarik kepada aspek-aspek kebudayaan dan sastera Melayu, khasnya pantun. Beliau telah berkhidmat di bawah 5 Perdana Menteri dalam Pemerintahan Malaysia moden sejak 1974 hingga 2013 dan sekarang dipercaya sebagai Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarbangsa Malaysia.

Sebagai generasi yang lahir di zaman perang dan berlatar alam pedesaan 1*, penulis buku ini dibesarkan dalam alam Melayu yang masih pekat dengan seni berpantun. “Semenjak kecil lagi saya mengikuti dan meminati pantun, pidato, kata-kata adat (teromba), perumpamaan, bidalan, bahasa kiasan, pepatah petitih, teromba (Tambo), seloka, gurindam, dan secara amnya bahasa indah”, kata beliau dalam buku ini (muka surat 2).

Buku ini terdiri atas 17 bab yang isinya dapat dibahagikan kepada tiga pokok utama, iaitu: 1) posisi pantun dalam konteks kebudayaan Melayu dan kekhasan bahasa sasteranya; 2) jenis-jenis pantun mengikut pembahagian yang dilakukan oleh penulis sendiri; 3) pergeseran budaya yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu, sama ada oleh pengaruh teknologi moden mahupun ideologi-ideologi yang datang dari luar, yang secara langsung atau tidak mempengaruhi keberlangsungan hidup genre pantun dan budaya Melayu pada amnya.

Penulis berhujah bahawa pantun adalah “bahasa kias [dan] bahasa berirama yang lunak, indah dan pernah dianggap ‘tajamnya lebih daripada sembilu [dan] tusukannya lebih daripada kena rejam’, dengan bahasa indah yang juga disusun-atur megikut dayacipta dan minda yang kuat. [] Pantun dipercayai sama bangkit dan berkembang dengan dunia Melayu itu sendiri” (muka surat 52). Penulis juga membezakan pantun biasa dan pantun sempurna. Perbezaan keduanya terletak pada beberapa kriteria, seperti sasaran matlamat dan maksudnya, suasana yang membawa pengertian dan ajaran, dan keindahan susunan kata atau rima yang terkandung di baris-baris pembayang dan baris-baris maksud (muka surat 57).

Dari banyak pengajian mengenai pantun yang sudah dilakukan oleh para ahli, dapat dikesan bahawa selalunya terdapat percanggahan pendapat mengenai pembagian jenis-jenis pantun. Hal itu setidaknya mencerminkan bahawa pantun memang mengandungi hampir semua aspek kehidupan orang Melayu sehingga tidak mudah untuk mengelompokkannya. Dalam buku ini penulis membicarakan “pantun alu-aluan” (Bab 7), “pantun petua” (Bab 9), “pantun budi & nilai-nilai murni” (Bab 10), “pantun asmara” (bab 11), “pantun perjuangan” (Bab 12), “pantun pemimpin dan pimpinan” (Bab 13), “pantun jenaka” (Bab 14), dan “pantun di majlis pertunangan dan persidangan” (Bab 15).

Salah satu segi yang menarik dari buku ini adalah bahawa penulisnya memberi huraian sambil menggunakan pantun. Oleh itu, di setiap halaman buku itu ditemukan bait-bait pantun untuk mendukung hujahan-hujan yang dikemukakan oleh penulis. Penulisan pantun-pantun tersebut “di samping mengandungi beberapa pantun klasik [yang diambil dari pantun pusaka Melayu dan pantun Minangkabau], adalah sebagian besarnya dipuncakan daripada pengamatan dan gubahan penulis sendiri menurut prinsip amaran berpantun” (muka surat 6). Penulis memperlihatkan kecekapannya menggubah pantun yang sesuai dengan pokok pikiran yang sedang beliau huraikan. Oleh itu, kita mendapat kesan minda penulis sebagai intelektual Melayu yang mampu menggabungkan tradisi lisan (orality) yang diserap semasa kecil dari orang tua dan lingkungan dan tradisi tulis (literacy) yang diperoleh di bangku pendidikan moden (sekolah dan universiti).

Buku yang juga dilengkapi dengan cukup banyak gambar (ilustrasi) dan senarai 460 perkataan Sanskrit-Melayu (muka surat 302-310) ini tentunya menambah lagi body of knowledge tentang pantun Melayu. Akan tetapi sebagai salah seorang pemimpin bangsanya, penulis juga mengharapkan sumbangan praktis daripada buku ini, iaitu “semoga generasi kini dan masa depan tidak melupai [pantun sebagai] warisan nenek moyang mereka” (muka surat 5). Penulis menyindir golongan tertentu dalam masyarakat yang memperlekehkan sendiri unsur-unsur budaya warisan nenek moyang mereka, termasuk pantun, kerana menganggap diri mereka sudah maju dan moden. Penulis menyedari betapa “pantun dan peribahasa kian lama kian menipis dan menghilir dalam kehidupan” orang Melayu di zaman moden ini. “Apatah lagi pada zaman media maya internet yang secara amnya tidak lagi menghormati salah satu cabang budaya tinggi” warisan nenek moyang kita ini (muka surat 5). Itulah yang menjadi dorongan utama penulis menyusun buku ini, sehingga “karya ini diharap dapat mengingatkan kita tentang budaya yang menunjangi intelek tradisi bangsa Melayu” (ibid.)

Membaca buku ini, saya merasakan kekhawatiran seorang pemimpin Malaysia terhadap perubahan kepribadian bangsanya kerana kemajuan yang telah dicapai di segala bidang yang malangnya berpotensi menghakis nilai-nilai kemelayuan yang semestinya tetap dipertahankan oleh sebuah bangsa yang berbudaya timur.

Suryadi, penyelidik dan pensyarah di Universiteit Leiden, Belanda (emel: s.suryadi@hum.leidenuniv.nl)

* Resensi ini dimuat dalam Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, Jilid 8, Bilangan 1 (2015): 161-163 (lihat: http://jurnalmelayu.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/12/8-ulasan-1.pdf)

=======

1* Rais Yatim lahir tanggal 15 April 1942 di Kampung Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan, dari orang tua yang berdarah Minangkabau. Mengenai riwayat hidupnya, lihat: ‘Datok Seri Utama RAIS YATIM: Anak Minang yang ‘Dihibahkan’ kepada Malaysia’, dalam 101 Orang Minang di Pentas Sejarah (ed. Hasril Chaniago), Padang: Citra Budaya, 2010, muka surat 435-439.


TAGS  


Comment

Author

Recent Post

Recent Comments

Archive